Wednesday, November 16, 2011

Karangan Puteri

Nora dan Elena adalah adik-beradik. Nora merupakan kakak kepada Elena. Nora juga merupakan seorang kakak yang sangat bertanggungjawab. Manakala Elena merupakan adik yang sangat manja. Mereka sering bergaduh walaupun mengenai hal yang kecil. Ayah dan ibu mereka iaitu Encik Zaimi dan Puan Hasliza sudah masak benar dengan perangai mereka berdua.

Suatu hari, Nora berjalan beriringan bersama rakan-rakannya untuk ke kantin. Tiba-tiba, Elena dengan sengaja menarik rambut salah seorang rakan Nora yang bernama Alice. Alice berasa sangat marah akan sikap Elena. Dia memberitahu Nora tentang perlakuan biadap Elena itu. Nora memarahi Elena di atas perbuatannya itu. Tetapi, Elena menafikannya. Nora berasa sangat marah dengan adiknya. Dia terus duduk di tepmat yang disediakan bagi menikmati makanan yang dibelinya. Loceng berbunyi menandakan waktu rehat telah tamat.

Sesampai sahaja di rumah, Nora memberitahu kedua-dua ibu bapanya mengenai kelakuan Elena di sekolah. Encik Zaimi memarahi Elena sehingga membuatkan Elena menangis. Akibat marah akan kakaknya, Elena membuat keputusan untuk lari dari rumah. Dia mengemas barang-barangnya dan keluar dari rumah serta-merta.

Keesokannya, Puan Hasliza terkejut apabila melihat bilik anak bongsunya kosong. Dia mencari-cari Elena di sekeliling bilik tetapi tidak dijumpai. Puan Hasliza memanggil suaminya lalu memberitahu tentang kehilangan anaknya. Encik Zaimi terkejut apabila mendengar berita yang dikhabarkan oleh isterinya.

Di sekolah, Nora mencari kelibat Elena. Tetapi, tidak dijumpai. Dia sudah bertanya kepada rakan-rakan Elena tetapi jawapan yang didapati, sangat menghampakan. Tiba-tiba, dia berasa bersalah dengan tindakannya memberitahu ayah mereka tentang perkara yang dilakukan oleh Elena terhadap Alice. Dia yakin itulah punca adiknya melarikan diri dari rumah. Sepanjang di sekolah, Nora berasa risau akan keselamatan diri adiknya.

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah, Nora terdengar suatu suara esakan di bawah jambatan. Dia kenal benar dengan suara itu. Suara itu milik adiknya, Elena. Dia mengintai di balik pokok yang merimbun. Ternyata benar tekaannya. Dia melihat Elena menangis teresak-esak. Perlahan-lahan, dia menghampiri adiknya. Dia memegang lembut bahu adiknya. Elena berasa amat terkejut. Dia memandang kakaknya dan segera memeluk erat kakaknya. Nora memujuk adiknya supaya berhenti menangis.

Kepulangan Nora dan Elena amat mengejutkan Encik Zaimi dan Puan Hasliza. Elena berlari ke arah ibu bapanya dan memeluk erat kedua-duanya.

Benarlah kata orang, “air dicencang, takkan putus”.Walaupun Nora dan Elena kerap bergaduh, tapi hubungan adik-beradik tidak akan pernah putus.

No comments:

Post a Comment